Wednesday 25 April 2012

berita pasar tani

Timur: Pasar tani konsep moden Oleh Roselan Ab Malek Berita Harian, 31 Okt 2007 Tapak kekal di Jerantut sedia persekitaran bersih, kemas beri suasana selesa kepada penjual, pembeli JERANTUT: Keadaan di pasar tani sering digambarkan sebagai tempat yang tidak selesa dan teratur kerana operasinya di bawah payung atau khemah di lorong, tepi jalan, dengan panas terik matahari. Namun, apabila pasar tani moden berkonsep baru yang pertama diperkenalkan di negara ini siap di daerah ini, ia mengubah secara keseluruhan tanggapan orang ramai terhadap operasi pasar tani. Pasar tani moden kekal yang baru berharga RM2.17 juta, mula beroperasi, baru-baru ini, disambut baik kerana ia memberi keselesaan bukan sahaja kepada peniaga, malah pengunjungnya. Seramai 98 peniaga mula menjalankan perniagaan di pasar tani baru itu yang serba moden dan lengkap serta menjadi mercu tanda baru bandar Jerantut menggantikan pasar tani lama. Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Pahang, Manon Jali berkata, pasar tani kekal yang pertama beroperasi di negara ini akan menjadi contoh kepada pasar tani moden kekal yang akan dibina di negeri lain. Katanya, operasi pasar tani kekal itu bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari setiap hari kecuali Ahad. "Pasar tani itu menyediakan ruang khas untuk menjual pelbagai jenis sayuran kampung, ulaman, herba, daging lembu dan kerbau, ayam, ikan air tawar dan barangan runcit. "Pasar tani ini menyediakan kemudahan lengkap untuk peniaga dalam suasana bersih, selesa dan ceria," katanya ketika membawa Berita Harian meninjau operasi pasar tani itu berkonsep baru itu, baru-baru ini. Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan keperluan harian mereka terutamanya hasil tani dari kampung yang segar dengan harga kompetetif di pasr tani terbabit. Katanya, kebanyakan peserta terdiri dari peserta pasar tani lama yang beroperasi sebelum ini. Manon berkata, suasana pasar tani ini amat berbeza berbanding pasar tani lama menggunakan sistem payung dan mereka terpaksa mengemas barangan masing-masing setiap kali habis jualan. Fama akan memastikan peniaga menjual hasil kampung segar dengan harga kompetetif, selain memastikan persekitaran tempat ini sentiasa bersih dan teratur bagi mengubah imej pasar yang kotor dan berbau selama ini. "Pasar tani itu mula dibina tahun lalu di atas kawasan seluas 0.4 hektar berhampiran pejabat Fama daerah," katanya. Katanya, konsep pasar tani itu adalah yang pertama di negara ini dan menjadi contoh pengurusan pasar tani berbentuk moden. "Kompleks pasar tani itu dilengkapi pejabat, bilik sejuk, setor, kafetaria, tandas, pusat pemeriksaan dan penanda harga barangan dan 116 ruang niaga," katanya. Beliau berkata, Fama akan memenuhi ruang niaga yang masih kosong untuk petani yang ingin berniaga dan pemilihan peserta dilakukan menerusi proses temuduga. Katanya, Fama mengenakan kadar sewa berpatutan iaitu dari RM50 sehingga RM250 sebulan bergantung kepada jenis perniagaan. Seorang peniaga sayuran, Zarina Kassim,36, yang sudah berniaga di pasar tani sejak lima tahun lalu menyifatkan pasar tani moden itu lebih bersih, selesa dan teratur. "Dahulu saya terpaksa berpanas dan berhujan berniaga di kawasan pasar tani yang ditetapkan, tetapi kini semua itu tidak menjadi masalah lagi kerana bangunan kekal ini amat selesa," katanya. Peniaga ayam, Mohd Rozi Sulaiman,40, berkata beliau mampu menjual 200 ekor ayam setiap hari di situ dan mendapat bekalan ayam dari penternak kontrak Fama. "Saya bersyukur kerana harapan untuk berniaga secara lebih selesa akhir tertunai menerusi pembinaan pasar tani moden secara kekal di sini," katanya. Ismail Yahya,46, berkata pasar tani itu akan menjadi pusat sehenti bagi pengunjung kerana selain sayuran, ikan dan barangan runcit pengunjung juga dapat membeli pelbagai jenis barangan termasuk herba dan bunga-bungaan. Beliau yang menjual pelbagai jenis barangan herba yang siap diproses berkata, sambutan yang diberikan pengunjung di pasar tani yang baru itu amat menggalakkan. "Saya selesa dengan keadaan pasar tani ini lengkap dengan kemudahan air dan elektrik serta tempat memproses ayam," katanya sudah berniaga di pasar tani sejak lima tahun lalu. Bagi Zurbaidah Kassim,45, dari Kampung Pulau Mangsok, konsep pasar tani moden itu membolehkan peniaga kecil dihimpunkan di bawah satu bumbung menjalankan perniagaan dengan selesa. "Saya menjual pelbagai jenis sayuran kampung dan ulaman dan tidak menghadapi masalah sayuran dan ulaman cepat layu kerana kawasan ini tidak panas seperti pasar tani dahulu," katanya. Seorang pengunjung, Jamaludin Samsudin,38 menyifatkan pasar tani moden itu menarik dengan reka bentuknya unik selain memberi keselesaan kepada pembeli kerana suasananya tenang dan bersih. "Saya suka mengunjungi pasar tani ini kerana terdapat banyak pilihan terutamanya sayur kampung dan ulam-ulaman. "Cuma kawasan meletak kenderaan di sini terhad menyebabkan berlaku kesesakan terutama di awal pagi. Saya harap Fama menyediakan kawasan letak kereta yang lebih luas," katanya. FAKTA: Pasar Tani Jerantut  Pasar tani moden Jerantut adalah pasar tani yang pertama seumpamanya di negara ini.  Ia berupa sebuah kompleks dan beroperasi setiap hari kecuali Ahad.  Dibina di kawasan seluas 0.4 hektar berharga RM2.17 juta.  Menyediakan 116 ruang niaga.

serba sedikit...